Sunday, July 25, 2010

Kesan Pembangunan Tanah Ke atas Alam Sekitar

Kesan Pembangunan Tanah Ke atas Alam Sekitar

Pertanian

Penukaran tanah dari hutan kepada pertanian telah mengakibatkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain daripada mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia

Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan semula air bawah tanah dan menyebabkan lebih banyak banjir di kawasan tanah rendah.

Pembangunan pertanian menyokong US$30 bilion nilai jualan racun makhluk perosak setiap tahun diseluruh dunia. Kira-kira 40% daripada jumlah ini dibelanjakan di negara membangun untuk sebatian toksik seperti DDT, orgonofosfat dan organoklorin.

Menurut Repetto dan Baliga (1996), Malaysia merupakan salah sebuah negara yang paling banyak menggunakan racun makhluk perosak yang paling intensif di Asia. Jumlah racun makhluk perosak yang digunakan bagi setiap hekter tanaman untuk tahun 1992 dilaporkan 9.2 kilogram/hektar iaitu hampir sepuluh kali ganda jumlah yang digunakan di Thailand untuk tempoh yang sama.

Selain menimbulkan masalah pencemaran air akibat penggunaan secara intensif ini, rakyat Malaysia yang menggunakan penyembor serta operator mesin penyembur racun makhluk perosak akan menghadapi risiko akibat pendedahan terutamanya melalui kulit, apabila menggunakan peralatan yang tidak sempurna untuk mencampurkan atau menyembur racun makhluk perosak.

Perlombongan

Kekayaan ekonomi boleh dicapai dari pembangunan industri perlombongan dengan mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar, tidak lebih daripada bentuk pembangunan lain. Kebanyakan operasi perlombongan menjalankan penilaian kesan alam sekitar.

Satu dasar berkaitan dengan galian telah pun dirangka untuk mengambil kira faktor alam sekitar melaui penggunaan bon prestasi dan langkah fisikal lain. Bagaimanapun, perlombongan skala kecil dan operasi kuari perlu diperbaiki segera terhadap pengurusan alam sekitar mereka.

Penyelidikan menunjukkan lombong emas skala kecil boleh mengganggu dengan tetap sumber air semula jadi, menyebabkan masalah pemendapan teruk di bahagian hilir operasi dan menyebabkan saliran lombong berasid. Tambahan pula, operasi perlombongan pasir di dataran serta tebusguna tanah dan lain-lain pembangunan di sepanjang pantai meningkatkan ancaman kepada ekologi marin. Terutamanya terumbu karang, hutan bakau dan rumput laut sepanjang pantai yang menjadi sumber perikanan.

Pengembangan kawasan perbandaran dan pembangunan industri secara langsung telah menyebabkan perubahan yang besar kepada ekosistem semula jadi berbanding dengan pembangunan hutan, perlombongan atau pertanian.

Isu alam sekitar berkaitan dengan perbandaran dan pembangunan industri, adalah lebih kompleks dan sering lebih sukar untuk ditangani, Ini termasuklah sisa buangan dan pembetungan, pemuliharan kawasan hijau di dalam perbandaran, maslah haba perbandaran serta pencemaran air dan udara.

Sisa buangan/pembentungan

Perkhidmatan pembentungan dan sisa buangan telah diswastakan di Malaysia untuk memperbaiki pengurusannya. Bagaimanapun, masih terdapat kebimbangan berkaitan dengan kesan alam sekitar daripada kemudahan ini. Di antaranya ialah kemungkinan pencemaran air bawah tanah di kawasan tapak pembuangan sampah lama majlis perbandaran dengan bahagian permukaan yang tidak sesuai serta pencemaran air sungai akibat pembuangan sisa kumbahan daripada penempatan dan kemudahan rawatan kumbahan yang tidak mencukupi.

Ketiadaan dasar untuk mewajibkan kitar semula dan kekurangan insentif untuk menggalakkan penggunaan semula melemahkan usaha majlis perbandaran untuk mengurangkan sisa buangan. Akibatnya beberapa kawasan pembuangan sampah secara terbuka akan meningkat dengan cepat dan risiko pencemaran air dan air bawah tanah mungkn juga akan meningkat.

Pembuangan industri telah menjadikan masalah toksik dan sisa buangan bahaya lebih teruk lagi. Masalah ini dan kesannya yang menjejaskan kesihatan manusia hanya dikenal pasti sejak awal 1990an. Masalah ini termasuklah pencemaran logam berat, nitrogen dan sulfur oksida, hidrokarbon petrolium, bahan partikel, polychlorinated, biphenyls (PCBs), sianida dan arsenik.

Pencemaran tanah dan air bawah tanah akibat pembangunan industri perlu dijelaskan dan diklasifikasikan dengan cara yang lebih sistematik di Malaysia. Dalam usaha untuk mengadakan kawalan sisa bahaya dan toksik yang berkesan, industri seharusnya diwajibkan menyimpan rekod jenis dan jumlah sisa buangan yang dihasilkan oleh mereka serta tarikh dan cara ia dilupuskan. Oleh kerana pembuangan sisa ini menelan belanja yang tinggi, memerlukan kemudahan khas dan kontraktor serta kontraktor kecil mereka seharusnya berhati-hati kerana insentif untuk menipu amat banyak.

Aktiviti lain

Keadaan suhu pada umumnya lebih tinggi di kawasan bandar kerana haba yang dikeluarkan oleh perumahan, pengangkutan dan industri serta termal dari bangunan dan jalan. Suhu pada waktu malam di persimpangan Jalan Ampang-Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur di dapati meningkat kira-kira 4 darjah F antara 1972 dan 1980 akibat peningkatan jumlah lalu-lintas.

Suhu pada waktu malam juga berubah dalam 3-4 darjah juga direkodkan di kawasan perumahan. Kawasan perumahan lama dengan lebih banyak kawasan hijau dan pertumbuhan pokok didapati suhunya lebih sederhana berbanding dengan kawasan perumahan baru. Oleh sebab itu kepupusan kawasan hujau di bandar mestilah dihentikan segera.

Keperluan semasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1970 (Semakan 1995) untuk mengekalkan semua pokok dengan lilitan melebihi 80 cm dalam sebarang perojek pembangunan mungkin boleh menyumbangkan kepada keadaan kecil terhadap pemuliharaan kawasan hijau di bandar dan kawalan terhadap suhu di kawasan bandar.

Pencemaan udara di kawasan bandar merupakan salah satu contoh di Malaysia di mana ia telah melebihi paras kritikal dan dengan itu menjejaskan potensi pembersihan sendiri alam sekitar. Sumber utama pencemaran udara di Lembah Klang ialah kenderaan bermotor yang menyumbangkan kepada partikel karbon (PM-10). Sumber lain termasuklah pembuangan industri dan aktiviti pembinaan (JAS, 1993)

Perbandaran juga mempengaruhi paras jumlah partikel terampai (TSP) dalam udara (JAS, 1993). Selain sumber daripada luar sempadan dalam tempoh tertentu setiap tahun, sumber utama TSP ialah pembakaran secara terbuka daripada pembangunan perumahan dan pertanian. Pencemaran udara di Lembah Klang tidak akan diperbaiki melainkan langkah-langkah kawalan dilaksanakan dengan segera.

No comments:

Post a Comment