Jungle Lodge mewah kehijauan


Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN



“NASIB baik kawasan ini tidak diwartakan sebagai sebuah taman rekreasi. Kalau tidak ia mungkin menerima nasib yang sama seperti Sungai Congkak dan pusat rekreasi yang lain,” ujar Pengurus cawangan The Jungle Lodge Alang Sedayu di Ulu Gombak, Selangor, Baiduri Mohamed Hassan.

Benar, ‘dara’ kawasan hijau Hutan Simpan Hulu Gombak itu masih begitu kuat terasa. Malah, udara yang dihirup di situ cukup menyegarkan. Bunyi air sungai yang mengalir pula mudah saja menguntumkan senyuman di wajah.

Mula beroperasi sejak tahun 1991, kem yang beroperasi bersebelahan dengan hutan simpan primer berusia lebih 130 tahun itu sebenarnya terbina kerana ‘dendam’ pemiliknya, Anthony Wong, 52, terhadap sikap ambil mudah orang ramai ke atas usahanya untuk menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar.


BANGLO dua tingkat di tengah-tengah kem ini dibina sejak tahun 1991 dan tidak pernah ditukar ganti.


“Ketika saya berceramah, mereka menunjukkan minat dan persetujuan terhadap apa yang saya bentangkan. Tetapi rupa-rupanya mereka sekadar bermuka-muka. Apa yang mereka cakap dan apa yang mereka buat ialah dua perkara yang berbeza,” kata Wong yang aktif sebagai aktivis alam sekitar.
Situasi itu membuatkannya berfikir panjang. Akhirnya dia akur – kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya.

Jungle Lodge Alang Sedayu, kata Wong, dibina bagi mendidik kanak-kanak menghargai alam semula jadi. Namun, di luar jangkaannya, setelah beroperasi, ia menarik perhatian banyak pihak, termasuk pelancong asing dan kumpulan insentif yang mewakili syarikat gergasi dari serata dunia sebagai tapak kem motivasi.


PENGUNJUNG juga berpeluang menyaksikan demo Orang Asli tempatan menyumpit.




“Jungle Lodge seperti duta kepadaMalaysia. Ia mewakili sebahagian kemewahan alam semula jadi yang dapat ditemui di Malaysia,” ujar Pengarah Urusan Kumpulan Asian Overland Services (AOS) itu.

Terpeta di atas tanah seluas 2.2 hektar berdekatan kawasan penempatan Orang Asli Kaum Semai, Wong mendedahkan, kem itu menggunakan khidmat generator untuk membekalkan tenaga elektrik dan air sehingga tahun 1997.

“Ia satu proses yang panjang. Tetapi syukur, sekarang sudah ada bekalan elektrik dan air,” katanya.
Menariknya, kem yang menawarkan aktiviti dan laluan treking itu menggunakan laluan yang merupakan dua terowong dari zaman peninggalan tentera komunis pada era Perang Dunia Kedua.

Banglo dua tingkat di tengah hutan
Menjadi satu-satunya kem yang diiktiraf dan menepati piawaian Akreditasi Kem Amerika (ACA) di Malaysia, Jungle Lodge memiliki sebuah banglo yang menarik yang ditempatkan di tengah-tengah kem itu.

“Ia tidak pernah diganti. Inilah bangunan asalnya, masih kukuh dan berada dalam keadaan yang baik,” tambah Wong.


SESI menikmati buah-buahan dari kawasan laman The Lodge menjadi tarikan di sini.

Bangunan dua tingkat yang dibina dalam gaya Melayu lama itu tampak begitu gah terutama apabila dikelilingi kehijauan alam semula jadi. Warna coklat kayunya juga sedikit pun tidak lusuh dimakan cuaca mahupun masa.

Tingkat bawah dibuka sepenuhnya dengan ruang santai tanpa dinding kecuali pada bahagian tandas dan pejabat di tengah-tengah binaan. Meninggalkan tiang-tiang berdiri dengan iringan pagar beranda setinggi paras pinggang, dari situ orang ramai dapat menikmati pemandangan air Sungai Pisang yang deras mengalir.

Menurut Baiduri, bahagian itu dijadikan sebagai salah satu tempat beraktiviti, khususnya aktiviti di dalam bangunan.

“Seperti untuk hari ini, kami mendapatkan perkhidmatan Orang Asli tempatan untuk membuat tarian sewang. Di sinilah ia dijalankan,” kata Baiduri.

Menyaksikan sendiri tarian itu dilakukan, ruang itu adalah pilihan yang baik kerana ia menyumbang kepada suasana mesra memandangkan material kayunya yang selesa.


DARI KIRI IKUT ARAH JAM: ASRAMA yang dapat memuatkan sehingga 100 orang pada satu masa ini dibina di 'atas' kolam.

PINTU masuk ke sini bermula dengan jambatan yang merentasi Sungai Pisang.
KEMUDAHAN bilik tidur yang terdapat di dalam banglo The Lodge.
RUANG santai tidak berdinding untuk pelbagai aktiviti.

Di tingkat atas, enam bilik tetamu sedia menanti. Empat daripadanya siap dipasang jaring pada setiap tingkap.

“Di sini tidak banyak nyamuk kerana kami sering menjalankan penyemburan menghalau nyamuk,” kongsi Baiduri yang menganggap pemasangan jaring itu turut meyakinkan tetamu terhadap tahap penjagaan kesihatan di situ.


TARIAN sewang menanti pengunjung yang mahu menikmati 'keaslian' Hutan Simpan Hulu Gombak.


Kem itu juga menyediakan bilik asrama yang boleh menempatkan sehingga 100 orang pada satu masa.

Buat mereka yang mahukan cabaran alam, tapak perkhemahan yang dapat memuatkan 60 khemah serentak juga sedia digunakan
.