Wednesday, July 21, 2010

PEMELIHARAAN HUTAN TROPIKA

MASALAH YANG TIMBUL EKORAN PEMBALAKAN YANG BERLELUASA.

Pengalaman negara jiran kita adalah satu contoh yang baik.Daripada jumlah keluasan Negara Thai,peratusan kawasan hutan telah berkurangan daripada 70% pada tahun 1945 kepada 20% pada tahun 1988.Kegiatan pembalakan yang keterlaluan dan pembalakan secara haram telah mengakibatkan masalah ketidakseimbangan keadaan alam sekitar.Di negara Thai, salah satu masalah yang serius ialah kaitan kegiatan pembalakan dengan banjir besar pada tahun 1988 apabila sebanyak 460 orang telah terkorban , 250,000 orang kehilangan rumah kediaman dan pemusnahan harta benda yang bernilai 67 juta Inggeris atau lebih kurang RM300 juta ringgit.

Akibatnya,Kerajaan Thai terpaksa mengharamkan kegiatan pembalakan mulai bulan Januari 1989.Selain itu,Negara Thai juga telah mulai mengimport kayu balak sebanyak satu juta m3 setahun kerana pengeluaran sendiri sebanyak tiga juta m3 tidak mencukupi.

Begitu juga pembalakan yang keterlaluan di Filipina telah mengakibatkan kawasan hutan cuma tinggal 20% daripada keluasan negara itu.Pengalaman Negara Thai dan Filipina patut dijadikan teladan kepada negara kita dalam soal pemeliharaan sumber hutan.

KESAN PEMBALAKAN TANPA PENGURUSAN YANG BAIK.

Ini disebabkan kawasan hutan negara kita juga berkurangan.Keluasan kawasan perhutanan di Semenanjung Malaysia,misalnya telah berkurangan daripada 13 juta hektar pada tahun 1900 kepada 6.3 juta hektar pada tahun 1987.Daripada seluruh kawasan seluas 13.2 juta di Semenanjung Malaysia, peratusan kawasan hutan telah berkurangan daripada 98% pada tahun 1900 kepada 48% pada tahun 1987. Kawasan hutan yang semakin berkurangan ini menunjukkan bahawa sektor perhutanan kurang diberi perhatian yang sewajarnya.Selama ini, yang diberi keutamaan ialah sektor pertanian terutama dalam soal penggunaan tanah.

Bagi tujuan pembalakan dan pembangunan rancangan tanah, beribu-ribu hektar kawasan hutan telah diterokai.Pembukaan kawasan hutan ini mungkin menjejaskan kesejahteraan negara dalam jangka panjang. Ramalan ekonomi telah menunjukkan bahawa sekiranya kita tidak menguruskan sektor perhutanan kita dengan baik,kemungkinan besar negara kita akan bertukar status daripada pengeksport balak kepada pengimport. Jika keadaan ini berlaku, ini bermakna kita tidak lagi menerima pertukaran wang asing tetapi adalah sebaliknya. Tanda-tanda juga menunjukkan bahawa penerokaan tanah perhutanan telah menimbulkan masalah sosioekonomi.

Di Semenanjung Malaysia, daripada keratan akhbar , didapati bahawa kegiatan pembalakan telah mencemarkan air sungai dari semasa ke semasa.

Di Sabah dan Sarawak,kegiatan pembalakan yang dikatakan tidak diurus dengan cekap telah ditentang oleh kaum asli yang mengamalkan pertanian pindah.Di samping itu, masalah banjir yang berlaku dari semasa ke semasa juga telah dikaitkan dengan kegiatan pembalakan yang keterlaluan.

Sungguhpun demikian , ini tidak bermakna bahawa negara kita tidak mempunyai satu sistem pengurusan sumber perhutanan yang baik.

Pada tahun 1978, satu Dasar Perhutanan Negara telah diluluskan dan secara prinsipnya telah diterima oleh semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Dengan pengisytiharan Dasar Perhutanan Negara ini, usaha penyelidikan, pengurusan dan pembangunan sumber hutan dirancang dan dilaksanakan secara teratur dan saintifik sejajar dengan konsep sustained yield. Dasar perhutanan Negara ini memberi garis panduan yang kukuh bagi menjamin pengekalan khazanah negara.Yang penting bagi kita ialah melaksanakan Dasar Perhutanan Negara dengan sepenuhnya.


PENGEKALAN BUDAYA TAMADUN MELAYU.

Pada masa ini,penduduk dunia kian bertambah manakala sumber hutan adalah terhad.Di peringkat antarabangsa,kesedaran telah timbul tentang pentingnya manusia memelihara sumber hutan.Pemeliharaan disini dapat didefinisikan sebagai pengurusan penggunaan sumber hutan supaya ia boleh menghasilkan faedah maksimum yang berterusan dalam generasi ini dan mengekalkan potensinya untuk memenuhi keperluan dan aspirasi akan datang.

Bagi orang Melayu, pemeliharaan sumber hutan boleh dianggap sebagai membalas budi dan usaha pengekalan budaya dan tamadun Melayu.Untuk mereka yang tinggal di pinggir hutan, penggunaan sumber hutan ( baik untuk keperluan manusia atau ternakan ) harus dipastikan supaya ia tidak keterlaluan.Usaha dalam menjaga sumber hutan bagi penggunaan masa hadapan adalah dialu-alukan.

Salah satu cara yang baik dalam pemeliharaan sumber hutan bagi penduduk luar bandar ialah mengamalkan hutan tani (agro-forestry).Bagi pekebun kecil , rotan dan pokok perubatan boleh ditanam sebagai tanaman perantaraan (intercops).Dengan cara ini,kita tidak akan bergantung semata-mata pada hutan semula jadi untuk mendapat sumber yang berkenaan.

Usaha ini bukan sahaja membantu memelihara sumber hutan tetapi juga meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Untuk mencapai tujuan yang sama,anak-anak Melayu yang menganggur harus digalakkan melalui berbagai-bagai insentif dan kemudahan untuk mengamalkan hutan tani di luar bandar.Ini adalah penting kerana kadar pengangguran masih tinggi iaitu 8% pada tahun 1988, manakala masih terdapat 700,000 hektar tanah terbiar di negara kita.

No comments:

Post a Comment