Wednesday, July 21, 2010

Tumbuhan Laman Sempit


TANPA ruang yang luas, taman bonsai boleh dibina mengikut kreativiti masing-masing.


KEDIAMAN yang tidak dihiasi tumbuhan sama ada daripada jenis berbunga, menjalar, akuatik mahupun renek pasti kelihatan kaku umpama sudah seri. Biarpun ruang yang ada sangat minimum, ia masih boleh diindahkan dengan reka letak landskap yang membentuk ruang kosong itu sebagai titik fokal buat kediaman anda, apatah lagi jika kawasan sekeliling rumah itu luas.

Bagi pemilik yang tidak mempunyai bajet besar untuk membina dan menghias landskap kediaman, usah risau kerana taman ringkas boleh dihasilkan dalam lingkungan kemampuan pemilik malah ia merupakan pertimbangan paling penting sekiranya merancang untuk membina sesebuah taman.

Berbeza dengan dekorasi dalaman, seni reka landskap bermula dengan pemilihan konsep hiasan sama ada perincian ala Bali, batuan semula jadi, bonsai, kehijauan disertai ornamen air ataupun laman desa.

Tidak hanya itu, membina taman juga menuntut komitmen dan perhatian agar elemen hidup yang ada pada pokok dan elemen mati atau kejur yang ada pada ornamen boleh bersatu dalam persekitaran segar dan harmoni.

Bagi yang gemar mengarang dan membentuk tumbuhan renek, gabungan bonsai dalam rekaan taman ringkas amat sesuai.

Hanya RM15


POKOK asam jawa yang dibantutkan jarang boleh mengeluarkan buah.


Seni membentuk dan membantut pokok yang menjadi warisan negara Jepun itu tidak hanya terkenal di rantau Asia sebaliknya telah muncul sebagai penghias laman dan taman yang artistik di seluruh dunia.

Tanpa ruang yang luas, koleksi tanaman kerdil ini hanya perlu diletakkan di atas para atau kotak bertingkat terbuka di luar kediaman, seeloknya di kawasan yang mendapat pencahayaan sempurna matahari.

"Landskap berkonsepkan bonsai adalah idea terbaik sekiranya kediaman tidak memiliki ruang luar yang luas dan pemilik tidak mahu tumbuhan yang rendang dan besar menghalang pandangan tatkala bersantai di rumah," ujar pemilik Sanfong Bonsai & Art Garden di Semenyih, Selangor, Benny Lim.

Menolak pendapat segelintir masyarakat yang menganggap bahawa bonsai hanya sesuai untuk warga emas mengisi masa lapang dan memerlukan modal tinggi, Benny menjelaskan, semua orang boleh menikmati keindahan serta memiliki taman bonsai kerana ia mudah dan murah.

"Anda boleh memiliki bonsai 'muda' pada harga serendah RM15. Jika pokok dijaga dengan baik tanpa meninggalkan sebarang rutin menyiram hingga membasahi semua permukaan tanah, membaja, menyembur racun, mencantas dan membentuk, pasti hasilnya sangat memuaskan, lebih-lebih lagi jika ia adalah hasil kerja tangan sendiri," katanya.

Pasu gantung

Jelas Benny, tidak semua tumbuhan bonsai boleh hidup dengan baik di Malaysia disebabkan faktor iklim dan cuaca. Menurutnya, antara benih yang sesuai ditanam menjadi bonsai adalah seperti pokok ara, bebaru, gading gajah, asam jawa, santalia atau melati, pokok ceri, kemuning, jari lipan, cucur atap, beruas dan juniper.

"Semua jenis pokok sama ada berbunga, renek mahupun pokok buah boleh dijadikan bonsai. Menariknya, kerja-kerja membentuk boleh dimulakan selepas enam bulan benih ditanam dan jika mahu membentuk pokok yang telah tumbuh lama, sebahagian kulit pokok perlu dibuang supaya dahan baru dapat dihasilkan," ujar Benny.

Terletak dalam kategori pokok hiasan untuk landskap luar, tumbuhan miniatur pelbagai bentuk ini sangat memerlukan cahaya matahari yang sempurna.


BONSAI yang akarnya ditanam di dalam batu dapat menyuntik kelainan rekaan selain dilihat lebih unik.


"Jangan risau sekiranya bonsai akan kekeringan jika terlalu terdedah kepada sinaran terik matahari. Ia adalah tumbuhan yang tahan lasak. Ia hanya perlu disiram dua kali sehari dan diberi penjagaan berkala mengikut jadual," katanya yang menekankan ketinggian pokok bonsai tidak boleh melebih empat kaki.

Boleh dibentuk dalam pelbagai saiz sama ada miniatur, kecil atau sederhana, bonsai yang bagus dapat dilihat daripada keseimbangan dalam ukuran batang, dahan, ranting bunga yang kuat serta daun.

"Apabila batang mengeluarkan dahan, kita perlu memotong sedikit bahagian itu untuk mengeluarkan dua ranting. Apabila ranting kuat dan menjadi dahan, proses yang sama dilakukan sehingga mendapat bonsai yang rimbun dan rendang.

"Keseimbangan itu adalah asas penting dalam menentukan harga pokok bonsai selain umur dan kelainan pada rekaan pokok," ujarnya yang memiliki bonsai berusia lebih 50 tahun dan pernah menjual seunit tumbuhan itu pada harga RM40,000.


POKOK beruas ini asalnya memiliki daun selebar tapak tangan namun teknik bonsai menjadikan saiznya lebih kecil.


Bagi peminat yang tinggal di apartmen atau rumah pangsa, tiada sekatan untuk anda menghias laman kerana masih banyak pilihan menghias balkoni kecil untuk kediaman tinggi.

Ramai pakar landskap mencadangkan pasu gantung sebagai kaedah terbaik untuk menceriakan persekitaran kawasan terhad. Deretan gantungan bunga pelbagai warna seperti azalea, petunia dan bunga kekwa dikatakan dapat menyerlahkan seri rumah apatah lagi seleksi bunga yang tidak bermusim.

Untuk memberi keseimbangan kepada penataan gaya gantungan, pilihan tumbuhan dedaun tebal jenis rona lembut daripada kelompok Piperaceae yang terkenal dengan sifat tahan lasak tampil sebagai alternatif.

Bagi yang gemar memilih daun aneka warna menyerlah, tumbuhan daun merimbun daripada keluarga Begoniaceae seperti boweri, rex putzets dan masoniana juga dapat membangkitkan aura segar dan ceria di kediaman anda.

No comments:

Post a Comment